Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

Manage PermissionsManage Permissions
SELUDUP MINUMAN KERAS TUMPAS

BRUNEI MUARA, Jumaat 8 Jan - Perkongsian maklumat yang disalurkan oleh orang ramai kepada Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) adalah amat bernilai dan didokong sepenuhnya terutama sekali maklumat yang melibatkan kegiatan-kegiatan yang berunsurkan jenayah. 

Ini terbukti dengan terbongkarnya satu kegiatan penyeludupan minuman keras berjumlah 3,568 tin pelbagai jenama oleh keanggotaan Polis Marin, Jabatan Gerakan, PPDB, pada 7 Januari 2021 sekitar jam 9.20 malam di luar kawasan rumah kediaman di Kg Sungai Besar, Daerah Brunei Muara. 
 
Semasa maklumat diperolehi, keanggotaan Polis Marin segera bergerak ketempat kejadian dan telah mendapati akan kelibat dua (2) orang individu sedang melarikan diri sejurus mengetahui akan kehadiran Pihak Polis di kawasan tersebut. Pemeriksaan segera dibuat dan telah menemukan satu longgokkan kotak-kotak minuman keras pelbagai jenama diletakkan di atas tanah di kawasan bawah rumah kediaman berkenaan. 
 
Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) segera dihubungi bagi membantu menjalankan pemeriksaan di rumah tersebut serta bagi peralihan dan penyiasatan kes selanjutnya. 
 
Ucapan penghargaan turut diberikan kepada orang ramai atas kepercayaan mereka terhadap Pihak Polis dalam menunaikan tanggungjawab dan melaksanakan amanah yang diberikan oleh Pihak Kerajaan melalui perkongsian-perkongsian maklumat yang disalurkan bertujuan untuk pembenterasan kegiatan jenayah. 
 
Pasukan Polis Diraja Brunei akan sentiasa memantau, mencegah dan bertindak dalam memerangi jenayah tanpa sebarang kompromi dan berusaha untuk membenterasnya sehingga ke akar umbi. 
 


Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI

Attachments