Skip Ribbon Commands
Skip to main content
PDB rai Hari Polis ke-97

​BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Feb – Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB), hari ini, meraikan Sambutan Hari Polis ke-97 dengan Majlis Perbarisan yang berlangsung di Padang Kawad, di Ibu Pejabat Polis, Gadong.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud. Turut hadir ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datin Hajah Elinda binti C.A Mohamed dan Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy bin Haji Muhd Shah Al-Islam.

Dalam ucapannya di majlis itu, Yang Berhormat Dato berkata, sepanjang 97 tahun penubuhannya, Pasukan Polis Diraja Brunei telah banyak memainkan peranan yang penting dalam menjaga keamanan dan keselamatan negara daripada pelbagai cabaran jenayah yang semakin kompleks apatah lagi dengan kepesatan perkembangan teknologi.

“Walaupun banyak cabaran yang telah dihadapi, namun Pasukan Polis Diraja Brunei tetap terus memelihara keamanan, keharmonian dan kesejahteraan negara dengan cara mempelbagaikan kaedah pencegahan jenayah mengikut perkembangan zaman,” tegasnya.

Yang Berhormat Dato menambah, sebagai agensi penguatkuasaan undang-undang, PDB hendaklah memastikan segala cabaran yang dihadapi akan dapat ditangani dengan bijak melalui kaedah-kaedah yang merangkumi semua aspek.

 “Kerana kita mempunyai pilihan selain menghadapi dan menangani cabaran-cabaran yang ada dan yang mendatang dengan penuh keyakinan kebijaksanaan dan tawakal kepada Allah, Insya-Allah akan tetap bersama-sama hamba yang bertawakal kepadanya.

“Jika kita tidak bijak dan belum bersedia menanganinya, ia akan menghambat prestasi pasukan dan memberikan gambaran negatif kepada imej Pasukan Polis Diraja Brunei. Dengan ini tanamkanlah sifat siap siaga, sifat positif, dalam diri masing-masing baik dari segi fikiran, mahupun perlakuan dalam menangani apa jua cabaran,” ujarnya.

Yang Berhormat Dato juga berkata, dalam usaha memantapkan lagi pasukan, Pasukan Polis Diraja Brunei perlu memberi penekanan kepada pembangunan kapasiti daripada peringkat pegawai hingga ke anggota polis.


DSC_1863.JPG                                 Dato CP .jpg 
 
 

Tetamu kehormat Sambutan Hari Polis Diraja Brunei yang ke 97, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Abdul Mokti​                                                         Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy semasa mengha​diri Sambutan Hari Polis ke-97 

 

Selain itu, mengambil kira nilai-nilai takwa, taat, integriti, dedikasi, kredibiliti dan berkepimpinan sejajar dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-34.

Perkara yang perlu diambil perhatian berat, tekan beliau, adalah dengan memupuk budaya kerja yang amanah, jujur, bersikap tegas, tidak menyalahgunakan kuasa, serta tidak terbabit dengan gejala rasuah dan aktiviti jenayah. Perkara-perkara berkenaan tidak sepatutnya berlaku lagi kerana ia menjejaskan imej dan kewibawaan Pasukan Polis Diraja Brunei.

Oleh itu, ujar Yang Berhormat Dato lagi, Pasukan Polis Diraja Brunei hendaklah merangka strategi-strategi bagi melangkah ke hadapan secara sistematik dan lebih efisien dalam meneruskan hala tuju meningkatkan kualiti perkhidmatan, memperkasakan penguatkuasaan undang-undang dan hal ehwal kebajikan keluarga Pasukan Polis Diraja Brunei dalam mencapai Wawasan Brunei 2035.

Majlis Perbarisan Sempena Sambutan Hari Polis ke-97 bermula dengan tetamu kehormat memeriksa perbarisan, diikuti dengan ucapan tetamu kehormat.

Majlis diteruskan dengan upacara perbarisan berjalan lalu dalam masa perlahan dan cepat jalan serta kawalan kehormatan dan kontinjen mara ke hadapan untuk diperhati semula.


Media Permata

Attachments