Skip Ribbon Commands
Skip to main content
Hubungan PDB, masyarakat dirapatkan

KUALA BELAIT, 9 Feb – Daerah Polis Belait, kelmarin, telah mengadakan sesi perjumpaan bersama penghulu, ketua kampung, ketua-ketua rumah panjang dan ahli pengawasan kejiranan (PK) yang telah dilantik di bawah tadahan Daerah Belait bagi suku tahun 4/2017. Perjumpaan yang diadakan di Mes Pegawai, Ibu Pejabat Daerah Polis Belait itu telah dipengerusikan oleh Pemangku Pegawai Pemerintah Daerah Polis Belait, Superintenden Haji Mohammad Azrie bin Talip.

Majlis itu turut dihadiri oleh ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara Daerah Belait, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin dan Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd Siput serta Pemangku Pegawai Daerah Belait, Awang Abdul Hazis bin Haji Ahad.


P9-polis2_100218 (1).jpg 
 Yang Berhormat Awang Hanapi ketika menghadiri sesi perjumpaan bersama penghulu, ketua kampung, ketua rumah panjang dan ahli PK Daerah Belait anjuran PDB.



Pada perjumpaan tersebut, taklimat yang disampaikan oleh pegawai penguasa balai menjurus kepada perkongsian maklumat dan statistik kes-kes jenayah dan kemalangan lalu lintas bagi Oktober hingga Disember 2017 serta membincangkan aktiviti PK Daerah Belait. Perjumpaan tersebut merupakan salah satu strategi Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) bagi merapatkan lagi hubungan dengan masyarakat awam di daerah ini.

Attachments