Skip Ribbon Commands
Skip to main content
Majlis Bacaan Yasin, Tahlil sempena Hari Polis

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Jan – Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) petang tadi telah mengadakan Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Kesyukuran Bersempena Sambutan Hari Polis ke-97 tahun 2018 yang diadakan serentak di Surau Polis, Ibu Pejabat Polis Gadong dan Surau Polis, Ibu Pejabat Polis Daerah Belait. Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis di Surau Polis, Ibu Pejabat Polis Gadong ialah Pesuruhjaya Polis, Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy bin Haji Muhd Shah Al-Islam.

Juga hadir ialah ahli Maljis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman@Othman; Penolong Pesuruhjaya Polis, Haji Mohammad Hassan bin Pehin Penyurat Haji Ahmad; para pengarah, pegawai dan anggota PDB dan kakitangan yang masih bertugas, warga pasukan polis yang telah bersara, para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung serta ahli pengawasan kejiranan dan kadet-kadet polis. Manakala itu, Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis, Dato Paduka Awang Mohd Irwan bin Haji Hambali hadir selaku tetamu kehormat pada majlis di Surau Ibu Pejabat Polis Daerah Belait.

polis-4_030118.jpg 
Dato Paduka Awang Mohd Irwan (dua kiri) hadir selaku tetamu kehormat pada Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Kesyukuran sempena Sambutan Hari Polis ke-97 tahun di Surau Polis, Ibu Pejabat Polis Daerah Belait.


 polis-2_030118.jpg
Antara yang menghadiri majlis di Surau Polis, Ibu Pejabat Polis Gadong.​

Juga hadir pada majlis di Daerah Belait ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd Siput, timbalan-timbalan pengarah Pasukan PDB Belait, pegawai pemerintah Daerah Polis Tutong, para pegawai dan anggota PDB serta kakitangan yang bertugas dengan pasukan, warga pasukan polis yang telah bersara serta kadet-kadet polis. Majlis di kedua-dua lokasi berkenaan telah didahului dengan menunaikan Sembahyang Sunat Hajat berjemaah bagi memohon ke hadrat Allah S.W.T agar warga PDB akan sentiasa dikurniakan kesihatan dalam melaksanakan tugas mencegah dan membanteras jenayah serta dihindari daripada kecelakaan dan kesukaran dalam menjalankan tugas.

Kemudian majlis diteruskan lagi dengan bacaan Surah Yasin dan Tahlil serta Doa Kesyukuran sebelum diakhiri dengan Sembahyang Fardu Asar berjemaah. Acara tersebut bertujuan untuk merapatkan lagi hubungan dalam kalangan warga PDB serta ahli pengawasan kejiranan dalam menghargai khidmat mereka. Di samping itu, ia adalah untuk memberi galakan dan suntikan semangat kepada warga PDB yang masih berkhidmat, yang mana tugas kepolisan adalah satu tugas yang mulia dalam usaha mengekalkan keamanan di Negara Brunei Darussalam.

 

Petikan Akhbar: Media Permata.

Attachments