Skip Ribbon Commands
Skip to main content
PPDB sertai perhimpunan Maulud Nabi

​BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Nov – Seramai 12,755 orang daripada 124 buah pasukan dijangka menyertai perhimpunan sambutan kemuncak Maulud Nabi sempena Memperingati Kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W bagi tahun 1439 Hijrah yang akan diadakan serentak di seluruh negara pada 2 Disember, bersamaan dengan 13 Rabiulawal 1439 Hijrah di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.

Perkara itu didedahkan dalam satu taklimat dan perjumpaan dengan wakil ketua-ketua pasukan bagi sambutan bertemakan ‘Rasulullah Qudwah Pemimpin Adil’ yang diadakan di Dewan Multaqa, Bangunan Tambahan Baru, Kementerian Hal Ehwal Ugama, hari ini.

Hadir mempengerusikan majlis taklimat dan perjumpaan tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerja Perhimpunan dan Perarakan bagi Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad S.A.W bagi Tahun 1439 Hijrah ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yusof.

Pada majlis itu, beliau juga menyampaikan taklimat dan penerangan mengenai format perarakan dan perbarisan kepada ketua-ketua pasukan yang mengambil bahagian pada perhimpunan itu kelak.

Turut menyampaikan taklimat ialah wakil daripada agensi-agensi Jabatan Adat Istiadat Negara, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kementerian Kesihatan, Jabatan Bandaran, Bahagian Kenderaan dan Pengangkutan, Penghakiman Perbarisan dan Perarakan serta Urus setia.

Taklimat juga menyentuh pembahagian kategori perarakan dan perbarisan iaitu pasukan beruniform, kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan, sekolah-sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi, persatuan-persatuan, NGO dan sektor swasta, kampung-kampung, majlis perundingan kampung serta takmir masjid.

Wakil-wakil ketua pasukan juga dinasihatkan mengambil perhatian mengenai perkara-perkara berbangkit bagi memastikan perhimpunan itu berjalan lancar dan sempurna seperti yang dihasratkan.


Attachments