Skip Ribbon Commands
Skip to main content
Pentingnya keselamatan jalan raya

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Nov – Jabatan Sekolah-sekolah melalui Unit Pentadbiran dan Perhubungan Awam sebagai penyelaras dengan kerjasama Bahagian Keselamatan, Bahagian Kesihatan, Kawalan Keselamatan dan Alam Sekitar (HSSE), Jabatan Pentadbiran dan Perkhidmatan, Kementerian Pendidikan, hari ini meneruskan lagi siri taklimat keselamatan jalan raya dan lalu lintas bagi sekolah-sekolah di bawah kawalan Kementerian Pendidikan. Kali ini, taklimat yang dikhususkan untuk pelajar-pelajar, guru-guru dan kakitangan sekolah diadakan di hadapan lebih kurang 200 orang murid di Sekolah Rendah Pengiran Pekerma Setia Diraja Sahibul Bandar, Kampung Perpindahan Mata-Mata Gadong.

Bertepatan dengan minggu bagi Hari Memperingati Mangsa Kemalangan Lalu Lintas Sedunia dan sempena ulang tahun ke-40 penubuhan Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) Negara Brunei Darussalam, taklimat itu merupakan antara inisiatif yang dibuat dalam usaha membantu pihak sekolah untuk meningkatkan kesedaran pelajar-pelajar terhadap keselamatan di jalan raya terutama bagi sekolah-sekolah yang didapati sebagai yang berisiko, melalui penilaian yang dibuat oleh Jawatankuasa Kerja Kecil MKKJR bagi sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pendidikan yang terdiri daripada beberapa buah agensi kerajaan.

Taklimat disampaikan oleh wakil Urus Setia MKKJR iaitu Pegawai Penguat Kuasa Kanan di Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), Kementerian Perhubungan, Pengiran Khairul Yusra bin Pengiran Haji Mohd Yusof dan pegawai dari Unit Penyiasatan dan Penyelidikan Jalan Raya, Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas (JSKLL), Pasukan Polis Diraja Brunei, Ketua Inspektor Polis Mohd Baharin Shah bin Haji Abu Bakar. Antara objektif taklimat adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang keselamatan dan peraturan-peraturan yang dikuatkuasakan bagi penggunaan jalan raya dan lalu lintas dalam kalangan warga sekolah, menanamkan sikap yang mementingkan keselamatan dalam kalangan warga sekolah semasa berada di jalan raya mahupun semasa menaiki kenderaan dan mewujudkan persekitaran jalan raya yang selamat di sekolah-sekolah bagi semua pengguna termasuk warga sekolah dan ibu bapa.


P11-A_161117 (4).jpg 
Ketua Inspektor Polis Mohd Baharin Shah ketika menyampaikan taklimat kepada murid-murid Sekolah Rendah Pengiran Pekerma Setia Diraja Sahibul Bandar.


Turut hadir semasa taklimat tersebut ialah pegawai-pegawai dari Jabatan Sekolah-sekolah dan Bahagian Keselamatan, Bahagian HSSE, Jabatan Pentadbiran dan Perkhidmatan, Kementerian Pendidikan, dari MKKJR, JPD dan JSKLL, Pasukan Polis Diraja Brunei. Ketua Inspektor Polis Mohd Baharin Shah ketika ditemui Media Permata mengongsikan bahawa sebanyak 2,456 kes kemalangan telah dicatatkan di Negara Brunei Darussalam pada tahun ini bermula dari awal tahun hingga ke hujung bulan Oktober menurut dari laporan yang telah diterima oleh Pasukan Polis Diraja Brunei.

“Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 24 kes serius yang melibatkan kematian seramai 26 orang akibat kemalangan jalan raya dan lalu lintas,” kongsinya. Dengan adanya taklimat seperti ini, tambahnya, generasi muda masa ini terutamanya kanak-kanak sekolah rendah diharap agar dapat sama-sama membantu semua pihak pengguna jalan raya dalam meningkatkan lagi kewaspadaan dan keselamatan apabila berada di jalan raya.




Petikan Akhbar: Media Permata

Attachments