Skip Ribbon Commands
Skip to main content
Pesuruhjaya Polis terima kunjungan Ketua POLRI

plori2.jpg 

Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy ketika menerima kunjungan hormat Jeneral Polisi Dato Paduka Seri Dr. Andas Haji Mohammad Tito Karnavian di Ibu Pejabat Pasukan Polis Diraja Brunei.


BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Julai – Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy bin Haji Muhd Shah Al-Islam, hari ini menerima kunjungan hormat daripada Ketua Polis Negara Republik Indonesia (POLRI), Jeneral Polisi Dato Paduka Seri Dr. Haji Mohammad Tito Karnavian di Ibu Pejabat Pasukan Polis Diraja Brunei (PPBD), Jalan Tungku, Gadong.

Jeneral Polisi Dato Paduka Seri Dr. Andas Haji Mohammad Tito Karnavian berada di negara ini bagi menghadiri Istiadat Pengurniaan Bintang-bintang Kebesaran Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Istana Nurul Iman, baru-baru ini, di mana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan Darjah Paduka Keberanian Laila Terbilang Yang Amat Gemilang Darjah Pertama (D.P.K.T) yang membawa gelaran ‘Dato Paduka Seri’ kepada beliau.

Pada perjumpaan tersebut, kedua-dua belah pihak membincangkan sokongan berterusan dalam menjalin kerjasama dua belah pihak yang lebih kukuh dalam kerja-kerja kepolisan, latihan, perkongsian maklumat, peningkatan kapasiti dan kawasan-kawasan kepolisan lain yang boleh meningkatkan keupayaan masing-masing dan juga isu-isu kepentingan strategik. Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei juga mengucapkan terima kasih kepada Ketua POLRI atas sokongan berterusan yang diberikan selama ini dan hubungan dua hala yang mesra antara PPDB dan POLRI dalam menangani jenayah rentas sempadan. Turut hadir pada kunjungan hormat tersebut ialah Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis, Dato Paduka Awang Mohammad Irwan bin Haji Hambali, pengarah-pengarah serta timbalan-timbalan pengarah Pasukan Polis Diraja Brunei.

-Media Permata

Attachments