Skip Ribbon Commands
Skip to main content
PPDB dan AMBD anjurkan kempen bersama
 

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 11 Jun -Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dan Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD), telah mengadakan satu lawatan ke Stesen Minyak Koperasi Persatuan TIBA, Kampong Salambigar, hari ini.

Lawatan ini merupakan salah satu daripada inisiatif PPDB dan AMBD dalam menjayakan kempen Pencegahan Jenayah dan Kempen Kenali Mata Wang Awda.

Dalam pada itu, objektif kempen ini diadakan antara lain untuk berkongsi pengetahuan mengenai tatacara menangani jenayah yang sering dilaporkan dan juga bagi meningkatkan pengetahuan orang ramai mengenai mata wang Negara Brunei Darussalam dengan memperkenalkan ciri-ciri keselamatan mata wang Negara Brunei Darussalam dan juga tindakan yang perlu diambil apabila mengesan mata wang palsu dan tidak tulin.

Dalam perkongsian risalah pencegahan jenayah, PPDB berharap orang awam akan dapat meningkatkan pengetahuan mereka mengenai jenayah-jenayah yang boleh dicegah dan disamping itu ianya juga dapat mengurangkan risiko menjadi mangsa jenayah.

Manakala Kempen Kenali Mata Wang Awda menyasarkan kepada petugas dibarisan hadapan untuk memberi layanan pelanggan yang baik, menjaga ekonomi pengusaha-pengusaha dan melindungi mata wang yang dalam edaran dengan kebolehan mereka membezakan mata wang asli berbanding dengan mata wang yang palsu atau tidak tulin.

Dalam majlis tersebut juga, acara penyerahan risalah Pencegahan Jenayah kepada Yang Mulia Tuan Haji Gharif bin Dato Seri Laila Haji Samat selaku Penasihat Persatuan TIBA (KOTIBA) berserta Pengarah-pengarah KOTIBA telah disempurnakan oleh Yang Mulia Penolong Pesuruhjaya Polis, Haji Mohammad Hassan Bin Pehin Penyurat Haji Ahmad, Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah.

Sementara itu, pengagihan risalah-risalah kepada pelanggan juga dibuat dan telah disampaikan oleh pegawai-pegawai dari Daerah Polis Brunei dan Muara. Kemudian, acara seterusnya diikuti dengan sesi perkongsian maklumat mengenai ciri-ciri mata wang Negara Brunei Darussalam kepada petugas-petugas di stesen minyak tersebut.

Satu sesi interaktif yang disampaikan oleh pegawai-pegawai AMBD yang diketuai oleh dari Pengiran Maslina bte Pengiran Mahmud, Pemangku Pengarah Eksekutif kepada petugas-petugas di stesen minyak tersebut menjurus kepada perkongsian cara-cara mengesan dan mengenalpasti mata wang asli dan palsu ketika menerima pembayaran.

Turut Hadir ke taklimat tersebut adalah pegawai-pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah, Pegawai Menguasa Balai Polis Berakas, ahli-ahli Pengawasan Kejiranan dan kakitangan-kakitangan Stesen Minyak Koperasi Persatuan TIBA.

PPDB seterusnya menekankan pentingnya menjaga keselamatan pekerja, pengurusan dan pelanggan apabila berhadapan dengan pemilik mata wang yang palsu atau tidak tulin. Pesanan utama PPDB sewaktu kempen ini adalah keselamatan petugas-petugas dan menyarankan syarikat dan persatuan untuk membuat pemasangan CCTV yang berkualiti tinggi yang meliputi mana-mana tempat berlakunya transaksi pembayaran diantara pekerja dan pelanggan yang boleh membantu dalam siasatan polis.

Attachments