TUTONG, Ahad 12 Jun - Bagi memastikan aktiviti penguatkuasaan dijalankan
dengan berkesan, kolaborasi antara agensi penguatkuasa undang-undang yang
berkaitan telah mengadakan 2 operasi sepadu bertempat di kawasan Kg Bukit
Beruang, Daerah Tutong.
Operasi Sepadu menumpukan kepada sekatan jalanraya dikendalikan pada malam
11 Jun 2022, melibatkan pegawai dan anggota daripada Daerah Polis Tutong dan
Balai Polis Tutong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB).
Di samping itu, turut sama dalam operasi sepadu ialah penglibatan 2 agensi
penguatkuasa undang-undang iaitu daripada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja
(JKED) dan Biro Kawalan Narkotik (BKN) yang diketuai oleh Penolong Penguasa Polis
(ASP) Ivy Han, Pegawai Siasatan Lalulintas Daerah Polis Tutong.
Hasil daripada pemeriksaan sebanyak 530 buah kenderaan, pihak penguatkuasa
telah menemukan sejumlah pelanggaran kesalahan dibawah akta masing-masing.
PPDB : 2 kesalahan doket dan 23 kesalahan kompaun melibatkan kenderaan tidak
dilindungi insuran, mengubahsuai kenderaan, tidak memasang plat lesen kenderaan
dan beberapa kesalahan lagi.
BKN : Penahanan seramai 2 orang suspek warganegara tempatan memiliki peralatan
dipercayai digunakan untuk penyalahgunaan dadah.
JKED : Penahanan seramai 8 orang warganegara tempatan kerana ditemukan
bersama mereka barangan tegahan seperti rokok pelbagai jenama dan rokok
elektronik beserta peralatan-peralatan vape.
Operasi pada malam tersebut adalah usaha berterusan agensi penguatkuasa
undang-undang di Daerah Tutong dalam sama-sama mengambil tindakan yang serius
terhadap objektif utama iaitu membenteras jenayah dan kegiatan yang menyalahi
undang-undang di Negara Brunei Darussalam.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI