MUARA, Rabu 12 Jan - Rondaan pencegahan jenayah di kawasan perairan Sungai
Brunei yang dikendalikan oleh keanggotaan Polis Marin, Pasukan Polis Diraja Brunei
(PPDB) telah menahan sebuah perahu bersama dua (2) orang individu yang didapati
dalam keadaan mencurigakan ditemukan di kawasan Kg Sungai Bunga, Daerah
Brunei Muara pada sekitar waktu pagi 11 Januari 2022.
Semasa penahanan dijalankan, Pihak Polis telah menjalankan pemeriksaan ke atas
kedua-dua individu tersebut dan telah mendapati salah seorang daripada individu
(suspek) berkenaan mempunyai kod Bruhealth berwarna merah dipercayai telah
keluar semasa tempoh kuarantin.
Pemeriksaan selanjutnya dijalankan dan juga mendapati satu paket straw yang berisi pecahan dan ketulan hablur dipercayai
dadah bersama peralatan - peralatan penyalahgunaan dadah tersimpan di dalam beg sandang suspek.
Kedua-dua suspek berkenaan adalah lelaki warganegara tempatan dan penduduk
tetap berumur 31 dan 32 tahun. Suspek beserta perahu yang digunakan dibawa ke
Pangkalan Polis Marin bagi tindakan dan siasatan awal. Penyiasatan kes diserahkan
kepada pihak Biro Kawalan Narkotik (BKN) bagi siasatan selanjutnya.
Dalam situasi negara berusaha mengekang dan mengawal penularan wabak COVID-19 ini, Pasukan barisan hadapan terutama sekali pihak keselamatan dan
penguatkuasaan sentiasa utuh dan tidak kendur-kendur dalam menjalankan tugasan
teras bagi mengawal dan memastikan undang-undang sentiasa ditanai dan dipatuhi
sepenuhnya.
PPDB juga ingin menyeru kepada orang ramai agar sentiasa bekerjasama dalam
menyalurkan serta mengongsikan sebarang maklumat mengenai sebarang kegiatan
yang menyalahi undang-undang kepada pihak penguatkuasaan bagi tindakan
sewajarnya.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI