TEMBURONG, Selasa 11 Jan - Pemantauan yang berterusan telah mendatangkan
hasil apabila rondaan pencegahan jenayah keanggotaan Balai Polis Bangar, Pasukan
Polis Diraja Brunei (PPDB) berjaya mematahkan cubaan penyeludupan barang
tegahan melalui Daerah Temburong.
Rondaan pemantauan yang dijalankan pada 11 Januari 2022 sekitar jam 3.30 pagi di
kawasan penurunan perahu Kg Ujung Jalan itu telah mengenal pasti sebuah
kenderaan dalam keadaan mencurigakan. Peronda bertugas telah dikerah untuk
bertindak membuat penahanan namun kenderaan tersebut telah memecut laju
melarikan diri menghala masuk ke jambatan SHOAS.
Kenderaan bersama dua (2) orang suspek berjaya ditahan dan hasil daripada
pemeriksaan awal yang dijalankan mendapati penemuan bungkusan yang
mencurigakan ada tersimpan di bahagian bonet dan kerusi penumpang belakang
kenderaan suspek.
Suspek pertama (pemandu) merupakan seorang lelaki warganegara tempatan
berumur 45 tahun manakala suspek kedua (penumpang) seorang perempuan
warganegara tempatan berumur 40 tahun.
Kenderaan beserta kedua suspek kemudiannya dibawa ke Balai Polis Bangar bagi
menjalani siasatan dan telah menemukan sejumlah 30 katon minuman keras.
Turut ditemukan semasa pemeriksaan dijalankan ialah paket ketulan hablur
dipercayai dadah bersama peralatan-peralatan penyalahgunaan dadah.
Kes berkenaan telah diambil alih siasatannya oleh Jabatan Kastam dan Eksais Diraja
(JKED) dan Biro Kawalan Narkotik (BKN) bagi tindakan selanjutnya.
PPDB akan sentiasa mempertingkatkan pemantauan dari masa ke semasa bagi
membanteras kegiatan jenayah terutama sekali barang tegahan yang dibawa masuk
ke negara ini secara seludup.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes jenayah atau perkara
menyalahi undang-undang di negara ini disarankan agar dapat menyalurkan
maklumat menerusi Talian Kecemasan Polis 993.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI