Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

Manage PermissionsManage Permissions
2 INDIVIDU DITAHAN BAWA BARANGAN TIDAK DIISYTIHAR

​TEMBURONG, Isnin 22 Nov - Tugasan teras penguatkuasaan Pihak Polis sentiasa dijalankan dengan sepenuhnya meliputi segala aspek pengesanan, pembendungan serta pencegahan terhadap kegiatan-kegiatan yang berbaur jenayah di negara ini. 

Di samping negara berusaha merapikan strategi pembendungan penularan wabak COVID-19 ini, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) tetap mempertingkatkan pelaksanaan tugasan dengan komited agar kesejahteraan dan keamanan negara sentiasa terjamin dan terkawal. 

Terkini ini ialah penahanan yang dijalankan oleh keanggotaan Balai Polis Bangar, PPDB ke atas dua (2) orang individu (suspek) yang dipercayai cuba untuk membawa masuk barang-barang tegahan dipercayai tidak diisytiharkan ke negara ini. 

Melalui rondaan rutin yang dilaksanakan telah menemukan sebuah kenderaan beserta sebuah perahu yang mencurigakan berada di kawasan penurunan perahu di Kg Batang Tuau, Temburong. 

Pemeriksaan pengenalan diri dan kenderaan dilaksanakan dan mendapati pelbagai barang-barangan berupa makanan daging mentah dan beku, barangan perhiasan diri, makanan, barangan ubat-ubatan, rokok elektronik, barangan kemas dan lain-lain lagi. 

Kedua-dua suspek merupakan lelaki warganegara tempatan yang berumur 38 dan 59 tahun. Suspek beserta barang rampasan diserahkan kepada pihak Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi siasatan lanjut. 

Di samping itu, kedua-dua suspek juga dihantar ke Pusat Kuarantin Perkampungan Sukan Berakas bagi menjalani proses kuarantin sebelum pihak berkenaan menjalankan tindakan seterusnya. 

PPDB menyeru dan menegaskan kepada orang ramai agar tidak terlibat ataupun bersubahat dengan mana-mana kegiatan ataupun anasir-anasir jenayah kerana kesannya akan membawa kepada tindakan undang-undang yang sewajarnya di hadapan muka pengadilan.



Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI


Attachments