Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

Manage PermissionsManage Permissions
RAMPASAN ROKOK KES PENYELUDUPAN

​BELAIT, Isnin 13 Sept - Komitmen dan kerjasama keanggotaan Daerah Polis Belait, Pasukan Polis Diraja Brunei dalam menjalankan rondaan operasi COVID-19 telah berjaya menumpaskan penyeludupan barangan tegahan pada 13 September 2021 sekitar waktu subuh. 

Dalam kejadian itu, keanggotaan bertugas telah menemukan 3 buah kenderaan dan beberapa individu sedang berkumpul dalam keadaan mencurigakan di kawasan bahu jalanraya Sungai Paku, Telisai. Menyedari akan kehadiran pihak polis, kesemua individu bertindak melarikan diri ke dalam hutan yang berhampiran dan seorang daripadanya sempat memasuki kenderaannya dan memecut lari menuju ke lebuhraya Telisai Lumut. 

Pemeriksaan segera dijalankan ke atas dua buah kenderaan yang ditinggalkan dan mendapati bonet kenderaan dalam keadaan berbuka serta menemukan beberapa kotak dipercayai mengandungi rokok pelbagai jenama. 

Sebanyak 740 katon rokok pelbagai jenama ditemukan dalam muatan kotak-kotak yang dicurigai. 

Barang-barang tegahan dirampas dan kenderaan dibawa ke Balai Polis Sungai Liang untuk siasatan awal sebelum diserahkan ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) untuk tindakan selanjutnya. 

PPDB akan sentiasa memantau dalam pelbagai skop rondaan dan kawalan bagi membanteras sebarang aktiviti penyeludupan barangan tegahan ke dalam negara ini bagi memastikan negara bebas dari jenayah rentas sempadan serta bekerjasama sepenuhnya dalam memutuskan rangkaian penularan COVID-19.



Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI


Attachments