Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

Manage PermissionsManage Permissions
CUBAAN MASUK BARANGAN TEGAHAN GAGAL

​LIMAU MANIS, Sabtu 20 Feb - Atas usaha kerjasama yang berterusan di antara Pasukan Simpanan Polis C Kompeni, Pasukan Polis Diraja Brunei dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dalam Operasi Sepadu Taskforce Security Covid-19 telah berjaya menghalang cubaan membawa masuk barangan tegahan Akta Kastam ke Negara Brunei Darussalam. 

Kejadian berlaku pada 19 Februari 2021, semasa pasukan peronda menjalankan rondaan rutin di kawasan perindustrian Kg Lumapas lalu ternampak sebuah kereta yang diletakkan di kawasan tersebut dalam keadaan yang mencurigakan. 

Menyedari akan kehadiran pasukan peronda, kenderaan tersebut terus memecut dengan laju menghala ke pasukan peronda. Walau bagaimanapun, pasukan peronda sempat menyelamatkan diri daripada dirempuh dan kenderaan suspek terus meninggalkan tempat kejadian. 

Dalam kejadian yang berasingan pada sekitar jam 6.29 petang, semasa menjalankan rondaan, pasukan petugas telah mendapati tiga orang individu sedang keluar dari hutan sempadan Malaysia berjalan menuju ke Negara Brunei Darussalam dengan membawa tiga kotak berwarna hitam dipercayai barang-barang tegahan.

Apabila menyedari kehadiran pasukan peronda, tiga individu tersebut segera meninggalkan barangan yang dibawa dan terus melarikan diri masuk kembali ke sempadan negara jiran. Salah seorang daripada suspek yang melarikan diri tersebut didapati ada memegang sebilah parang dianggarkan berukuran 17 inci panjang.

Sejurus pemeriksaan dijalankan pihak polis mendapati kotak-kotak tersebut mengandungi 36 botol minuman keras pelbagai jenama.

Barang-barang tegahan dibawa ke Balai Polis Kg Air untuk siasatan dan seterusnya diserahkan penyiasatannya ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja bagi tindakan selanjutnya. 

Pasukan Polis Diraja Brunei akan sentiasa memastikan penugasan di kawasan sempadan dipantau dan diperketatkan lagi dari masa ke semasa. Ianya adalah untuk menyekat kemasukan individu-individu secara haram bagi mengekang penularan wabak Covid-19 selain membanteras kesalahan-kesalahan jenayah yang termaktub di dalam undang-undang Negara Brunei Darussalam. 



Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI

Attachments