Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

Manage PermissionsManage Permissions
RONDAAN PENCEGAHAN JENAYAH TERUS AKTIF

​BRUNEI MUARA, Khamis 18 Feb – Rondaan Pencegahan Jenayah melalui program Pengawasan Kejiranan (PK) merupakan antara salah satu strategi pencegahan yang diusahakan oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) bersama masyarakat awam. 

Aktiviti dalam program tersebut bukan sahaja menjadi cara untuk PPDB berganding bahu bersama masyarakat awam dalam membendung jenayah, malahan terbukti ada memberi kesan bagi pengurangan kadar terjadinya jenayah. 

Beberapa aktiviti rondaan telah pun dijalankan oleh beberapa balai dari Daerah Polis Brunei Muara, di antaranya adalah rondaan dari Balai Polis Kampong Ayer. 

Rondaan PK yang diketuai oleh Inspektor Abdul Halim bin Abdullah Chok, Penolong Pegawai Menguasa Balai Polis Kampong Ayer dijalankan bersama Pemangku Ketua Kampung Lumapas 'A', Yang Mulia Haji Saini bin Haji Maidin beserta keanggotaan balai dan ahli-ahli PK kg berkenaan.

Rondaan telah meliputi ke kawasan Perumahan STKRJ Kg Lumapas, Jalan Kampong Kilugus, Bangunan-Bangunan Kerajaan, Tapak Klinik Hospital Lama dan persimpangan-persimpangan di Kg Panchor Lumapas. 

Sementara itu, Unit Pengawasan Kejiranan (UPK) Balai Polis Muara juga telah membuat rondaan yang berasingan. Rondaan yang terdiri dari anggota balai dan beberapa ahli PK, diketuai oleh ASP Hajah Nur Azhani bte Haji Johaiani, Pegawai Menguasa Balai Polis Muara. 

Berpandukan dengan maklumat yang diterima, rondaan tersebut adalah bertujuan untuk membuat pemantauan serta menjalankan tindakan pencegahan di kawasan yang dikenal pasti berpotensi sering berlaku kejadian jenayah dan lokasi kali ini ditumpukan di sekitar RPN Kampung Meragang, Pantai Meragang, Kawasan Taman Permainan Kampung Meragang dan di kawasan Jalan Kemangsi.

Turut hadir mengikuti rondaan tersebut adalah Pemangku Ketua Kampung RPN Kg Meragang, Yang Mulia Awang Mohammad bin Tamin. Di samping itu juga rondaan pencegahan jenayah telah dijalankan oleh Balai Polis Berakas yang diketuai oleh Penolong Pegawai Menguasa Balai Polis Berakas, Inspektor Haji Abu Bakar bin Haji Abdul Rahman bersama ahli anggota balai yang menumpukan rondaan di Kawasan 1 RPN Lambak Kanan, Mukim Berakas 'B'.

Sepanjang kesemua rondaan tersebut tidak ada menemukan sebarang kegiatan jenayah dan aktiviti yang melanggar perundangan negara ini. 

PPDB berharap dengan usaha program ini akan memberikan kesedaran kepada orang awam akan betapa pentingnya gandingan bersama masyarakat dalam memantapkan lagi semangat kejiranan dan bersama membenteras dan mencegah jenayah.



Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI


Attachments