Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

Manage PermissionsManage Permissions
MAJLIS SANTAP PETANG RAIKAN PUJA USIA DPMM

​BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis 18 Feb - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab Rahaman berkenan berangkat ke Majlis Santap Petang sempena Puja Usia Duli Yang Teramat Mulia Ke-47 Tahun anjuran Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB). 

Berangkat sama di majlis yang berlangsung di Dewan Bankuet, Kompleks Ibu Pejabat Polis Gadong itu ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah; Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi’atul ‘Adawiyyah binti Pengiran Haji Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna binti Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Komandan Polis Wanita dan Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz. 

Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia berserta kerabat diraja yang lain dijunjung oleh Pesuruhjaya Polis PPDB, Yang Mulia Dato Paduka Seri Awang Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali serta Pg Datin dan Yang Mulia Pengiran Dato Seri Pahlawan Haji Mohammad Jefri bin Pengiran Haji Abdul Hamid, Timbalan Pesuruhjaya Polis PPDB dan Datin. 

Pada majlis berkenaan, DYTM berkenan untuk menandatangani 'Lembaran Kenangan Keberangkatan' dan disusuli dengan sesi bergambar ramai. 

Sambutan puja usia DYTM turut dimeriahkan dengan majlis memotong kek yang diiringi dengan nyanyian puja usia yang disampaikan oleh pasukan koir terdiri daripada pegawai-pegawai PPDB. 

DYTM seterusnya berkenan menerima pesambah yang disembahkan oleh Pesuruhjaya Polis PPDB. 

DYTM serta kerabat diraja yang lain kemudiannya di junjung ke pentas bankuet bagi majlis santap. 

Sebelum berangkat meninggalkan majlis, DYTM seterusnya disembah kenalkan dengan para pegawai-pegawai peralihan Inspektor skuad 1 & 2 yang telah dinaikkan pangkat daripada anggota pangkat rendah serta pegawai-pegawai Inspektor Percubaan. 

Turut hadir di majlis tersebut, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi ll dan Leftenan Kolonel (B) Pengiran Haji Muhamad Sazali bin Pengiran Haji Yakob, Setiausaha Tetap (Keselamatan, Penguatkuasaan dan Undang-Undang) di Jabatan Perdana Menteri.



Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI


Attachments