Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

Manage PermissionsManage Permissions
BARANG TEGAHAN DAN TIDAK DIISYTIHARKAN DIRAMPAS

TEMBURONG, Sabtu 9 Jan - Sebuah kenderaan jenis salon berjaya ditahan peronda Balai Polis Bangar, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) semasa menjalankan pemantauan pencegahan jenayah di kawasan Tanah Perkuburan Islam Negalang Ering, Jalan Labu pada 9 Januari 2021 sekitar jam 11 pagi. 

Dalam kejadian tersebut, pemeriksaan awal yang dijalankan oleh pihak polis telah mendapati beberapa kotak yang mencurigakan berwarna coklat dipercayai berisi barang tegahan dan barang-barang yang tidak diisytiharkan disimpan di bahagian bonet belakang dan di bahagian kerusi belakang penumpang kereta. 
 
Barangan rampasan yang ditemui terdiri daripada rokok pelbagai jenama, di mana ada sebahagiannya disorok didalam tayar gantian, beberapa botol minuman keras, potongan sayap ayam yang diragui kehalalannya, barangan-barangan elektronik, ubat-ubatan, barang alat ganti kereta, barang makanan, pakaian dan peralatan perkhidmatan satelit Astro. 
 
Dua (2) orang suspek yang ditahan iaitu pemandu merupakan seorang lelaki penduduk tetap berumur 40 tahun manakala penumpang ialah seorang wanita warganegara tempatan berumur 36 tahun. 
 
Kedua-dua suspek bersama kereta dan barang-barang bukti dibawa ke Balai Polis Bangar dan kes ini dipindah alih siasatannya ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja bagi penyiasatan kes selanjutnya. 
 
Pasukan Polis Diraja Brunei memohon kerjasama orang ramai bagi membantu pihak berkuasa dalam memerangi jenayah penyeludupan barang larangan dan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan melalui talian-talian kecemasan pihak penguatkuasa undang-undang di negara ini. 



Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI


Attachments