SUNGAI LIANG, Rabu 6 Jan - Sepasang suami isteri berdepan dengan detik-detik
cemas apabila kenderaan mereka telah dilarikan oleh seorang individu yang tidak
dikenali, dalam masa yang sama 3 orang anaknya masih berada di dalam kenderaan
tersebut yang berlaku di hadapan sebuah kedai pasaraya di kawasan Lumut, Sungai
Liang.
Dalam kejadian yang berlaku pada 5 Januari 2021 sekitar jam 11 malam tersebut,
mangsa telah meninggalkan 3 orang anaknya yang berusia 4 hingga 10 tahun di
dalam kenderaannya dengan enjin yang masih hidup bertujuan untuk membeli barang
dapur di dalam kedai itu.
Kereta mangsa yang dipandu suspek telah didapati memecut lari meninggalkan
tempat tersebut dan kemudiannya berjaya dikesan oleh Keanggotaan Pasukan Polis
Diraja Brunei di kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Berakas.
Kesemua mangsa di dalam kenderaan dalam keadaan selamat manakala suspek
berhasil ditahan dan dibawa ke Balai Polis untuk siasatan lanjut.
Suspek merupakan seorang lelaki, warganegara asing yang berumur 34 tahun.
Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) ingin menegaskan dan menyeru kepada orang
ramai untuk sentiasa peka dan tidak sambil lewa akan akibat meninggalkan
kenderaan mereka didalam keadaan enjin yang masih hidup walaupun dalam masa
yang singkat. Sebaliknya perlulah berwaspada dengan mematikan enjin kenderaan
dan membawa anak-anak mereka bersama.
Jangan sesekali membiarkan mereka ditinggalkan tanpa sebarang pengawasan
orang dewasa, jangan ambil mudah, ambil iktibar daripada insiden-insiden yang
berlaku sebelum ini kerana bahaya datang tanpa diduga.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI