Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

Manage PermissionsManage Permissions
KEPELBAGAIAN PROGRAM PENGAWASAN KEJIRANAN (PK)

​AHAD, 22 November - Peranan Pengawasan kejiranan (PK) seperti yang dimaklumi ialah kolaborasi orang ramai atau penduduk kampung bersama-sama Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dalam membantu menjaga keselamatan di persekitaran kampung dan kawasan di negara ini. 

Keutuhan hubungan melalui PK ini mewujudkan banyak kebaikan dan manfaat dalam mengeratkan silaturahim, saling mempercayai, menjadi mata dan telinga dalam membantu pembanterasan dan pencegahan terhadap aktiviti-aktiviti negatif yang berbaur jenayah. 
 
SERIA - Daerah Polis Belait melalui program kebajikan sosial PK telah mengadakan satu majlis penyerahan sijil lantikan bagi ahli-ahli baru seramai 7 orang. Majlis telah diadakan di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah Belait. Tetamu Kehormat dalam majlis tersebut ialah Pemangku Pegawai Pemerintah Daerah Polis Belait, Yang Mulia SUPT Handrie bin Haji Amin. 
 
Di samping itu, program rondaan dan pendekatan turut dijalankan bersama PK Kg Sungai Liang dan juga PK Kg RPN Lumut di kawasan tadahan masing-masing. 
 
BRUNEI MUARA – PK Kg Jerudong A menggerakkan program PK mereka dengan membuat aktiviti rondaan pencegahan jenayah bersama keanggotaan Balai Polis Sengkurong di kawasan-kawasan dipercayai berlaku kegiatan jenayah. Rondaan yang dijalankan sekitar waktu pagi itu tidak menemukan sebarang kegiatan yang tidak diingini. 
 
TUTONG – Pemanku Ketua Kg Layong Lamunin bersama Penolong Pegawai Menguasa Balai Polis Lamunin serta beberapa keanggotaan balai membuat lawatan dan pemeriksaan di beberapa rumah kediaman di kawasan Kg Bukit Barun, Lamunin. 
 
Rondaan pemantauan yang dijalankan secara berjalan kaki itu turut dijalankan di rumah kediaman Barek Bandaran Kg Barun dengan membuat perjumpaan dan pendekatan kepada beberapa orang penghuni.    

TEMBURONG – Satu pendekatan PK telah dibuat bersama keahlian PK Kampung Batang Tuau yang dihadiri oleh Pemangku Ketua Kg Puni dan Penolong Pegawai Pemerintah Daerah Polis Temburong. Pendekatan menjurus kepada mengeratkan perhubungan dan suai kenal serta mendapatkan maklumat-maklumat lanjut terhadap situasi keadaan persekitaran. 
 
Turut dijalankan rondaan pencegahan di kawasan Kg Senukoh, Mukim Labu yang dihadiri oleh beberapa ahli PK diketuai oleh Penolong Pegawai Menguasa Balai Polis Temburong. 
 
Inisiatif dalam usaha sebegini perlu diteruskan sebagai pendekatan terbaik kepada masyarakat bersama pihak Polis dalam melahirkan keserasian dan hubungan erat bersama ahli-ahli PK.  
 
Sehubungan itu, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) juga mengambil kesempatan  mengalu-alukan dan menyeru para belia dari pelbagai peringkat umur untuk ikut serta dan menyertai Pengawasan Kejiranan di kampung masing-masing bagi sama-sama memastikan keselamatan kawasan di kampung mereka bebas dari jenayah. 



Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI


Attachments