Gadong, Khamis 19 November - Latihan Asas Kepolisan Pegawai Kadet Inspektor
Percubaan memperlihatkan usaha dan keupayaan Pasukan Polis Diraja Brunei
(PPDB) melalui Pusat Latihan Polis, untuk melatih dan membentuk seseorang
menjadi pemimpin generasi muda, bermula daripada pangkat Kadet dan seterusnya
kepada Inspektor Percubaan.
Sehubungan itu, seramai 7 orang Pengambilan Pegawai Kadet Inspektor Percubaan
Skuad 1/2020 terdiri dari 6 orang lelaki dan seorang wanita berjaya menamatkan
latihan asas kepolisan dalam Upacara Perbarisan Tamat Latihan yang berlangsung di
Padang Kawad, Pusat Latihan Polis Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Gadong, di
sini.
Latihan asas ini bertujuan untuk membentuk seorang anggota baharu dengan
keperibadian kepolisan, membina kekuatan serta ketahanan mental dan fizikal bagi
melahirkan seorang pegawai polis yang mempunyai keyakinan diri, berketerampilan,
berdisiplin dan juga kompeten dalam menegakkan kebenaran sesuai dengan tuntutan
undang-undang negara ini.
Hadir selaku tetamu kehormat di upacara tersebut ialah Yang Mulia Dato Paduka Seri
Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali, Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja
Brunei.
Juga hadir, Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis Yang Mulia Penolong
Pesuruhjaya Polis (ACP) Haji Mohammed Fadzillah bin Haji Ismail, Pengarah dan
Timbalan Pengarah, Pegawai-pegawai Kanan PPDB dan ahli keluarga Pegawai-pegawai Kadet.
Di majlis berkenaan, tetamu kehormat mula-mula memeriksa perbarisan Pegawai-Pegawai Kadet dan perbarisan kawalan kehormatan serta diikuti dengan
menyempurnakan penyampaian anugerah Pegawai Kadet Terbaik.
Pegawai kadet terbaik daripada Skuad 1/2020 juga telah menerima anugerah Pedang
Kehormat (Sword of Honor) yang disampaikan oleh tetamu kehormat kepada
Inspektor Percubaan Ak Abd Razzaq bin Pg Kamarulzaman di atas prestasi
cemerlang sepanjang latihan asas dijalankan.
Acara kemudian diteruskan dengan perbarisan lalu para Pegawai Kadet dan diakhiri
dengan keluar baris dalam masa perlahan jalan.
Sementara itu, pada sebelah petang 19 November 2020, acara diteruskan dengan
majlis pentauliahan dan pemasangan pangkat bagi kesemua Pegawai Inspektor
Percubaan Skuad 1/2020 telah disampaikan oleh Pesuruhjaya Polis PPDB, Yang
Mulia Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali yang berlangsung di
Dewan Bankuet Mes, Kompleks Ibu Pejabat Polis Gadong.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI