Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

Manage PermissionsManage Permissions
KEMPEN KESEDARAN KESELAMATAN JALANRAYA

​TEMBURONG - Seperti sama-sama dimaklumi bahawa Jambatan Penghubung Daerah Brunei Muara dan Daerah Temburong mula dibukakan penggunaannya kepada umum pada bulan Mac 2020 walaupun terdapat beberapa kerja-kerja pemeliharaan masih dalam perlaksanaan. 

Jambatan ini dibuka mulai dari jam 6.00 pagi hingga 10.00 malam setiap hari. 

Difahamkan terdapat kategori kenderaan yang hanya dibenarkan untuk menggunakan jambatan ini dimana kebenaran diberikan oleh pihak Jabatan Kerja Raya melalui Pejabat Pengurusan Jambatan (Bridge Maintenance Office). Penggunaan basikal di atas jambatan ini adalah tidak dibenarkan. 

"Bridge Maintenance Team" ditugaskan untuk mengawal dan memastikan segala aspek-aspek keselamatan dan kesejahteraan pengguna jambatan. Di samping itu juga Pasukan Polis Diraja Brunei bekerjasama membantu dalam memastikan perjalanan lalu lintas semasa menggunakan jambatan ini selain dari menguatkuasakan undang-undang dan peraturan, mengawal lalu lintas jika berlaku kecemasan seperti kemalangan jalan raya sepanjang jambatan berkenaan. 

Memandu dengan kelajuan deras atas jambatan akan menyebabkan risiko kemalangan dan kemalangan akan mengakibatkan pelanggaran yang boleh sahaja menyebabkan kenderaan yang dipandu jatuh dari jambatan dimana kemalangan bukan sahaja menyebabkan kerosakan pada harta benda bahkan boleh meragut nyawa dan kecederaan pada tubuh badan. 

Mengambil contoh dan iktibar peristiwa atau kejadian kemalangan yang berlaku atas jambatan di luar negara dimana dari kejadian ini telah menunjukkan kepada kita suatu keadaan dimana mangsa mengalami kecederaan sangat parah dan kerosakan pada harta benda yang sangat dahsyat. 

Jika sesuatu kejadian kecemasan terjadi atas jambatan adalah tidak sama seperti apa yang berlaku di atas jalanraya biasa dimana perkara ini mengambil kira aspek-aspek bagaimana menangani situasi kecemasan atas jambatan berbanding apabila berlaku atas jalan raya biasa seperti yang diketahui jambatan tidak ada susur keluar atau laluan alternatif untuk menyelamatkan mangsa dengan segera. 

Perhatian pemanduan hendaklah ditumpukan dalam keadaan cuaca buruk seperti hujan kerana lapisan jalan akan menjadi basah dan licin dimana ini boleh menyebabkan kemalangan jika tidak berhati-hati.

Sehubungan dengan itu, pihak Pasukan Polis Diraja Brunei ingin menasihati pengguna hendaklah mematuhi had kelajuan 80km/jam bagi kenderaan biasa manakala had kelajuan 65km/jam bagi kenderaan komersial. Jangan menjadikan jambatan berkenaan sebagai litar perlumbaan. 

Menggunakan telefon bimbit semasa memandu akan menyebabkan hilang tumpuan terhadap kosentrasi dimana pemandu tidak dapat fokus sepenuhnya dari apa yang terjadi di hadapan dan dipersekitarannya dan ini dengan sekelip mata menyebabkan kemalangan akan berlaku.

Terdapat CCTV yang telah dipasang sepanjang jambatan ini yang boleh merakam setiap pergerakan kenderaan termasuk aktiviti yang dibuat atas dan sepanjang jambatan. Oleh yang demikian setiap pelanggaran undang-undang dan peraturan akan dapat dikesan dan seterusnya akan diambil tindakan yang berpatutan. Oleh itu jangan sekali-kali melakukan perkara-perkara yang boleh melanggar undang-undang dan peraturan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa. 

Kerjasama dari orang ramai adalah diharapkan demi menjaga keselamatan dan kesejahteraan pengguna lain semasa menggunakan jambatan.



Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI


Attachments